Berikutan sambutan baik penonton, pengurusan Lotus Five Stars Cinemas (LFSC) berharap lagu Negaraku dapat terus dikumandangkan di pawagam untuk memperteguh semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Pengurus LFSC, Garuna Murthee berkata walaupun kempen nyanyian lagu kebangsaan itu hanya dibuat sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, beliau mahu ia diteruskan kerana mendapat banyak reaksi positif.
"Bagaimanapun, ada beberapa lokasi kami seperti panggung Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang tidak dapat memainkan lagu Negaraku disebabkan format lagu yang diterima berbeza dengan format mesin kami.
"Namun, penonton yang datang akan bertanya bila panggung Coliseum dapat memainkan lagu Negaraku kerana mereka juga rasa teruja untuk turut serta dalam kempen itu," katanya.
Garuna berkata walaupun pada mulanya terdapat segelintir penonton yang kekok apabila lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan filem, namun pihak pengurusan LFSC memastikan semua penonton berdiri sebagai tanda hormat.
Beliau turut mencadangkan supaya nyanyian lagu Negaraku di pawagam dilaksanakan pada hari minggu dan musim perayaan memandangkan jumlah penonton yang hadir lebih ramai daripada hari biasa.
Sementara itu, di Kuantan, Ketua Wilayah Timur Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Saharudin Rasip berkata berdasarkan pemantauan pihaknya, semua pawagam terlibat mematuhi arahan itu sejak 28 Ogos lepas.
Beliau berkata sebelum Negaraku berkumandang, terdapat juga pawagam yang memasang lampu selain turut membuat pemakluman bagi meminta penonton berdiri.
Katanya selain pemantauan Finas, Jabatan Hal Ehwal Khas Pahang turut membantu membuat pemantauan di pawagam terlibat.
Pada 16 Ogos lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan supaya lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan filem di pawagam seluruh negara bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara.
No comments:
Post a Comment